Gambar Hiasan: Petugas Media Tabung Haji 2013 |
Pengalaman mengetuai jemaah haji Malaysia tahun ini hakikatnya penuh mencabar dan warna-warni. Apa tidaknya pengalaman mengetuai haji Malaysia tahun ini bukan sekadar memenuhi tanggungjawab memantau operasi Tabung Haji (TH) dalam menguruskan jemaah tetapi ditakdirkan Allah untuk berhadapan dengan ujian besar menangani dua musibah besar. Tiada siapa yang menjangkakan jemaah haji tahun ini dikejutkan dengan dua peristiwa besar iaitu tragedi kren tumbang di dalam Masjidilharam dan tragedi rempuhan di kawasan khemah jemaah haji dari benua Arab di Mina.
Terlalu banyak pengajaran dan pengalaman yang ditimba melalui dua insiden ini termasuklah daripada pelbagai aspek pengurusan tragedi sehinggalah kepada pengurusan jenazah mangsa-mangsa yang terkorban sampai ke liang lahad.
Saat yang paling tidak akan dilupakan ialah menyaksikan timbunan mayat rempuhan di Mina sehinggakan Rumah Mayat Muassim dilimpahi dengan jasad-jasad mangsa yang sudah tidak bernyawa buat beberapa hari. Sehingga kini masih terbayang-bayang wajah-wajah mangsa bahkan terbau-bau aroma mayat yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Namun di sebalik tragedi yang melanda jemaah haji tahun ini, terdapat pelbagai hikmah besar yang boleh dipelajari dan diambil ibrah atau pengajaran buat kita semua.
Malah di bumi Tanah Suci ini jugalah saya menyaksikan sendiri kewibawaan dan dedikasi seluruh pegawai dan petugas TH yang cukup profesional dalam menguruskan segala aspek yang melibatkan operasi haji dan kebajikan jemaah dari awal hingga akhir.
Sememangnya sejak dari awal lagi tatkala dunia dikejutkan dengan kejadian tren tumbang lantaran ribut pasir yang kuat, petugas-petugas TH telah memainkan peranan penting melakukan usaha menyelamat dan mencari mangsa-mangsa yang terlibat dalam musibah tersebut.
Tindakan segera pihak TH inilah yang akhirnya menemukan semua mangsa dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang tercedera dan terkorban.
Kehadiran peringkat awal Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Azeez Rahim bersama dengan petugas TH di Rumah Mayat Muassim juga telah banyak membantu mempercepatkan urusan penyempurnaan jenazah lima orang mangsa jemaah haji Malaysia yang dikesan.
Untuk rekod, Malaysia satu-satunya negara yang menghantar menteri bagi berurusan sendiri dengan pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang memungkinkan proses mengeluarkan jenazah sekali gus menyempurnakan segala urusan pengkebumian dengan pantas berbanding dengan negara lain.
Sebab itulah apabila saya tiba di Mekah bagi mengambil alih tugas menteri, banyak urusan yang telah dipermudahkan terutamanya dalam urusan penyempurnaan jenazah tatkala ditemukan pula dengan dua lagi mangsa kren rakyat Malaysia dua hari sebelum wukuf. Alhamdulillah pengurusan jenazah dapat disegerakan tanpa melalui proses birokrasi yang panjang sebagaimana yang dialami jemaah haji dari negara lain.
Memang tiada siapa yang boleh nafikan bahawa pengurusan TH dalam operasi dan pengurusan jemaah haji adalah yang terbaik di dunia. Berbanding dengan negara-negara lain, perkhidmatan TH adalah yang paling komprehensif dan bersifat holistik.
Perkhidmatan yang merangkumi segala urusan sebelum haji seperti kursus-kursus pengajian dan bimbingan haji yang disediakan bagi setiap jemaah sehinggalah pelbagai kemudahan yang disediakan bagi membantu jemaah haji menyempurnakan segala manasik atau ibadah yang melibatkan rukun dan wajib haji di Tanah Suci.
Sebab itulah jemaah haji sebenarnya hanya perlu fikirkan soal penyempurnaan ibadah mereka kerana segala makan minum, penginapan, kesihatan, khidmat nasihat, bimbingan sehinggalah perkhidmatan kewangan disediakan oleh TH setiap pusat penginapan.
Hakikatnya, jika hendak dinilai dari segi bilangan petugas TH yang berjumlah 585 orang untuk menjaga jumlah jemaah haji tahun ini seramai 25,105 orang memanglah tidak mudah dan di luar jangkauan pemikiran. Apatah lagi untuk melayani seribu satu kerenah manusia yang diuji dalam pelbagai bentuk di Tanah Suci sebenarnya amat menguji kesabaran dan ketahanan setiap petugas.
Namun sepanjang saya bersama-sama mereka, tidak pernah terdengar sebarang rintihan apatah lagi keluhan. Malah riak wajah mereka sentiasa terukir senyuman dan penuh kesabaran melayani pelbagai kerenah jemaah.
Tersentuh hati saya tatkala seorang wanita menitiskan air mata melahirkan rasa berterima kasih beliau kepada petugas TH. Kata-kata nenek yang berusia lebih 70 tahun dan agak uzur masih terngiang-ngiang di telinga saya: “Layanan petugas TH kepada makcik hanya Allah sahaja mampu membalasnya. Anak makcik pun tidak pernah memandikan dan membersihkan najis makcik sebagaimana mereka.”
Sejujurnya petugas-petugas TH ini boleh diumpamakan bak ‘pahlawan-pahlawan yang tidak didendang’ atau ‘the unsung heroes’ yang perlu diberikan pengiktirafan. Namun saya percaya Allah Maha Mengetahui dan Dialah sebaik-baik Pemberi ganjaran.
Petugas-petugas TH sudah tentulah termasuk dalam golongan mereka yang mendapat pahala berganda-ganda kerana membantu jemaah haji menyempurnakan kewajiban haji. Rakyat Malaysia mendoakan agar Allah mengganjari semua pahlawan yang tidak didendang ini dengan ganjaran pahala yang besar atas amal bakti mereka sepanjang perkhidmatan musim haji tahun ini. Amin.
*Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki/Utusan