KUALA LUMPUR – Sejumlah 354,874 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) secara sukarela, setakat September lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pendaftaran itu meliputi tujuh kategori ketidakupayaan.
“Ini termasuk OKU yang menghadapi masalah pembelajaran seramai 126,511 orang, fizikal (121,175); penglihatan (31,756); pendengaran (29,061); mental (28,282); pertuturan (1,736) dan masalah pelbagai (16,353),” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang meminta beliau menyatakan jumlah terkini OKU berdaftar dengan JKM mengikut jenis kelainan upaya, dan usaha dilakukan dalam membantu golongan ini mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.
Menjelas lanjut, Rohani berkata kerajaan juga memperkenalkan dasar satu peratus peluang pekerjaan di sektor awam kepada OKU pada tahun 1998 dan menyasarkan 16,000 OKU memenuhi pengisian jawatan sektor awam menjelang tahun 2020 dalam Rancangan Malaysia ke-11.
“Dalam usaha membantu golongan OKU mendapat pekerjaan dalam sektor awam juga, kementerian menubuhkan Task Force Pemantauan Isu Ketidakupayaan yang dipengerusikan Timbalan Menteri KPWKM Datuk Azizah Mohd Dun,” katanya.
Katanya dalam usaha memberi sokongan kepada OKU mendapat pekerjaan, KPWKM juga mengadakan latihan kemahiran yang mengeluarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui institusi OKU seperti Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan di Bangi.
Dalam pada itu, Rohani berkata 431 OKU menyertai program ‘Job Coach’ bagi tempoh Mac 2012 hingga September tahun ini dan kekal dalam pekerjaan mereka sehingga kini.
Katanya tujuh syarikat menggaji OKU dalam perusahaan mereka termasuk GCH Retails (M) Sdn Bhd, KFC (M) Holdings Bhd, Mohamed Mydin Holding Bhd (Retail), Shangri-La Hotel, McDonald’s Malaysia, AEON Big dan Aeon Jusco.
“Bagi membantu golongan OKU mendapat pekerjaan di sektor swasta, program Job Coach ini berjaya menimbulkan kesedaran kepada majikan menggajikan OKU dalam perusahan mereka dan kami harap ramai lagi akan berbuat demikian,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Hasbullah yang mahu kepastian sejauh mana pihak kerajaan dan swasta memperakui kad perakuan OKU yang dikeluarkan, Rohani berkata pemegang kad itu akan memperoleh 25 keistimewaan yang disediakan buat mereka.
“Tapi sebagai contoh bagi Jabatan Pengangkutan Jalan, mereka memperakui kad itu namun untuk mengeluarkan lesen memandu kepada OKU yang memohon, mereka memerlukan satu lagi pengesahan khususnya daripada Jabatan Kesihatan yang mengesahkan OKU itu betul-betul boleh memandu,” katanya. – BERNAMA