KUCHING - Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai antara RM15 bilion hingga RM20 bilion yang dalam pembinaan ketika ini bukan projek dongeng.
Malah tegas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastuktur dan Perhubungan, Safri Zainudin, projek ini mampu mencapai matlamat pelaksanaannya.
“Kita telah melancarkan pakej pertama bagi projek ini Mac tahun ini diikuti dengan pakej kedua pada September lepas dan 10 lagi pakej pada masa akan datang secara berperingkat-peringkat.
“Saya secara peribadi cukup yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang lebuh raya sepanjang 1,000 km ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbincangan sesi pertama Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan Sarawak Kedua di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Sidang kemuncak itu merupakan anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dengan tema ‘Sarawak Rises: Driving Diversified Growth’.
Dalam perkembangan berkaitan, Safri berkata kementeriannya kini giat membangunkan infrastruktur jalan bagi menghubungkan 5,000 kampung di negeri ini dengan jalan akses dengan anggaran kos RM15 bilion.
Tujuannya adalah merapatkan jurang pembangunan antara penduduk di kawasan luar bandar dengan penduduk di kawasan bandar.
“Dalam usaha ini kami di kementerian turut menggalakkan pemain industri untuk mengemukakan cadangan berhubung kaedah atau teknologi baharu dalam bidang pembinaan.
“Sebagai contoh kami telah melawat beberapa negara dalam ASEAN dan mendapati negara seperti Filipina menggunakan jalan raya bersimen bagi menghubungkan kawasan terpencil dengan bandar.
“Jalan bersimen pada pandangan saya mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding jalan berturap malah kos penyelenggaraannya adalah minimum.
“Jadi jika jalan bersimen digunakan di negeri ini berbanding jalan berturap mungkin kita dapat menghubungkan 5,000 kampung di negeri ini dengan jalan akses lebih cepat,” katanya.
Sumber: UB