Lelaki Cina Maki Hamun Penguatkuasa MBPP Telah Ditahan Polis

DUA lelaki yang memaki hamun tiga anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditahan polis. - Foto Zulaikha Zainuzma
GEORGE TOWN – Dua lelaki Cina yang memaki hamun dan melemparkan wang kepada anggota penguat kuasa wanita Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditahan polis, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 19 dan 25 tahun.

Menurut beliau lagi, kedua-dua mereka berjaya ditahan oleh pihak polis ketika berada dekat sebuah restoran makanan segera di Farlim, Ayer Itam, di sini, kira-kira pukul 4 petang pada Jumaat.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kes mereka ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” kata Mior Faridalathrash.

Insiden berkenaan menjadi sensasi apabila rakaman perbuatan biadap mereka terhadap mangsa yang bertugas ketika itu disiarkan menerusi media sosial dan menjadi viral dalam kalangan netizen.

Salah seorang daripada mereka turut dilihat bertindak kurang ajar dengan melemparkan wang kompaun ke arah penguat kuasa MBPP terbabit bagi membuka pengunci tayar keretanya yang disekat.

Penguatkuasa wanita itu dilihat bertindak profesional tanpa emosi apabila mengutip duit yang dicampakkan, namun apabila ia dipungut rakan lelaki terbabit kedengaran berkata “anjing!”

Media tempatan sebelum itu melaporkan mangsa telah membuat laporan polis, namun bertindak menarik balik sehingga mencetuskan tanda tanya apakah yang berlaku sebenarnya. – Agensi