Shabir Ahmad Khan, 31 tahun. |
MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur, pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda RM12,000 kepada seorang lelaki warga India selepas mengaku bersalah menampar Imam II Masjid Negara, ketika berlangsungnya solat Jumaat bulan lalu.
Memetik Berita Harian, Majistret Siti Radziah Kamarudin turut mengarahkan tertuduh, Shabir Ahmad Khan, 31 tahun; menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan kecederaan terhadap Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim, 39 tahun; di Masjid Negara, Jalan Perdana, Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 1.30 tengah hari, bertarikh 18 September lalu.
Selain itu, Shabir turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal lebih masa di negara ini di tempat, waktu dan tarikh sama meskipun Pas Lawatan Sosialnya telah tamat tempoh pada 17 Julai lalu.
Berdasarkan laporan psikiatri, Shabir disahkan menghidap kecelaruan bipolar dan tidak sedar akan tindakannya ketika kejadian tersebut. –Kedahnews.com