Gambar Hiasan |
KUANTAN – Cubaan seorang lelaki warga Myanmar memberi sogokan RM200 kepada anggota polis untuk melepaskan dirinya bersama seorang rakan senegara membawa padah apabila mereka ditahan dalam satu pemeriksaan kerana memiliki kad UNHCR palsu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan anggotanya kira-kira jam 9 pagi ketika melakukan tugas rondaan di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kemunting di sini, apbila dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis, anggota terlibat meminta dua lelaki itu mengeluarkan dokumen diri dan mereka mengemukakan kad UNHCR.
“Hasil semakan ke atas butiran kad UNHCR mendapati kedua-dua dokumen itu adalah palsu.
“Seorang suspek cuba memberi wang RM200 kepada anggota bertugas bagi melepaskan diri bagaimanapun taktik itu tidak menjadi sebaliknya kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut atas kesalahan memiliki kad UNHCR palsu dan cuba memberikan rasuah,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Abdul Aziz berkata, wang tunai RM200 yang cuba diberikan kepada anggota polis turut dirampas sebagai bahan bukti. – Sinar Harian