Gambar Hiasan |
Riyadh - Seorang lelaki berusia 70-an diselar dalam media sosial kerana berkahwin dengan kakak ipar anaknya.
Dalam kejadian seperti sebuah drama televisyen, lelaki itu pergi ke rumah sebuah keluarga di Al Qunfudha, bandar di wilayah Tihamah, untuk memutuskan pertunangan anak lelakinya, atas desakan dua isterinya.
Ketika berada di rumah berkenaan dan sebelum menyuarakan niat kedatangannya, seorang wanita berusia 30 tahun keluar ke ruang tamu untuk menyajikan minuman.
“Apabila lelaki itu melihatnya, dia bertanyakan kepada bapa wanita itu, sama ada wanita itu tunang anaknya. Tuan rumah itu menjawab, dia kakak tunang anaknya dan baru sahaja menjadi janda,” lapor akhbar Okaz.
Lelaki tua itu serta-merta menukar hajat kedatangannya dan memberitahu tuan rumah bahawa dia datang untuk membincangkan perkahwinan anak lelakinya.
“Dia juga memberitahu dia mahu meminang dan berkahwin dengan wanita yang menyajikan minuman tadi. Tuan rumah itu bersetuju terhadap kedua-dua permintaan itu,” lapor akhbar berkenaan.
Berita mengenai kejadian itu menjadi viral. Ramai pembaca menyifatkan lelaki itu miang.
“Apabila umurnya sudah mencecah 70-an tahun, dia sepatutnya lebih mendekatkan diri kepada Tuhan, bukan mencari isteri lebih muda,” kata seorang pembaca. - Agensi