Ling Liong Sik Enggan Minta Maaf, Cabar Saman Di Mahkamah


ALOR SETAR - Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dilaporkan enggan memohon maaf terhadap Datuk Seri Najib Razak ekoran menuduh Perdana Menteri itu kononnya telah mencuri wang rakyat ke sakunya.

"Dengan penuh rasa rendah diri, saya terima cabaran kamu. Saya kata kepada perdana menteri, jika kamu memilih untuk saman saya, saya akan pertahan diri saya.

"Saya mahu mengulangi bahawa saya pertahan apa yang katakan. Saya tidak akan mohon maaf," katanya yang turut mahu Mohd Najib meletak jawatan, dalam satu kenyataan semalam.

Isnin lalu, Najib meminta Liong Sik menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah mengenai Perdana Menteri baru-baru ini.


Surat tuntutan itu menuntut penarikan balik, permohonan maaf serta ganti rugi berikutan artikel di dalam sebuah akhbar bertajuk 'MCA's Liong Sik joins call for Najib's ouster for allegedly putting people's money in his own pocket' yang disiarkan pada 3  Oktober.

Dalam surat itu, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, Liong Sik mempunyai tujuh hari untuk menjawab tuntutan itu atau menghadapi tindakan undang-undang kerana didakwa mencemarkan reputasi Perdana Menteri. -Kedahnews.com