Johan akui belum letak sebarang syarat ketika penggambaran. |
Pelakon Johan As'ari berasa kagum dengan prinsip beberapa aktor lelaki yang berani mempertahankan hak dan syarat untuk tidak bersentuhan dengan wanita ketika penggambaran sesebuah drama atau filem.
Johan, 29, berkata, ia merupakan tindakan yang betul dalam mempertahankan hak masing-masing terutama apabila tidak berasa selesa dan menganggu fokus ketika penggambaran.
"Tindakan pelakon-pelakon meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan itu sesuatu yang bagus dan ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian.
"Ketika ini pengarah drama susah boleh dibawa berbincang tentang apa yang boleh dan apa yang tidak, mereka boleh bertolak ansur," ujarnya kepada mStar Online.
Johan ditemui pada Karnival Juvana di Citta Mall, di sini, pada Ahad.
Johan diminta pendapatnya mengenai pelakon lelaki yang sudah meletakkan syarat terutama soal bersentuhan dengan wanita bukan muhrim ketika penggambaran.
Antara artis terbaharu yang meletakkan syarat itu ialah pelakon Nazim Othman dan Syarul Ridzwan.
Bagaimanapun, Johan berkata, setakat ini dia belum lagi meletakkan sebarang syarat kepada pengarah ketika penggambaran.
Dia masih membawakan apa juga watak yang diberikan sebaik mungkin termasuk babak bersentuhan selagi ia tidak melampaui batas.
"Bagi saya selagi babak itu tidak keterlaluan, boleh diterima dan tidak menjengkelkan, saya akan lakonkannya sehabis baik.
"Lagi pula kita ada sesi perbincangan dengan pengarah untuk menjayakan sesuatu babak dan dari situ juga kita boleh berbincang untuk kurangkan apa yang tidak sepatutnya," ujar Johan.
Selain itu, Johan yang baharu kembali ke tanah air selepas berkelana menuntut ilmu Islam selama tiga bulan di India dan Bangladesh pada Jun lalu berpendapat dirinya bukan seorang yang terlalu alim dalam hal berkaitan agama.
Tambahnya, biarpun dia banyak mendalami agama Islam, namun ia bukan tiket untuknya memandang rendah dengan berasa bangga terhadap ilmu yang dimiliki.
Katanya, apa yang dipelajari ketika penggambaraan itu adalah untuk dirinya sendiri dan bukan mahu menunjuk-nunjuk.
Sumber: mStar