Gambar Hiasan |
SEORANG lelaki didakwa kerana memukul rakannya sehingga mati gara-gara takut rakannya bertukar menjadi zombie.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di Grants, New Mexico itu terjadi selepas suspek dan mangsa mengadakan pesta minuman keras dan menonton drama The Walking Dead bersama-sama.
Selepas mabuk, Damon Perry, 23, dikatakan ternampak rakannya, Christopher Paquin, 23, bertukar menjadi zombie lalu memukulnya sampai mati.
Menurut pihak berkuasa, Damon mengakui membunuh rakannya itu menggunakan tangan, kaki, pisau, microwave dan gitar elektrik.
“Suspek berkelakuan sedemikian kerana dia berada dalam keadaan yang sangat mabuk.
“Ini adalah kes jenayah paling buruk saya pernah lihat di sepanjang 15 tahun saya bertugas di sini,” kata jurucakap Jabatan Polis Grant New Mexico, Moses Marquez.
Lelaki terbabit juga dikatakan telah mengejar penduduk lain yang berada di situ kerana mempercayai mereka juga adalah zombie.
Damon membuat pengakuan tersebut kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian dan menyalahkan drama zombie yang ditonton bersama rakannya itu.
“Lelaki itu kini sudah sedar dan sangat menyesal dengan apa yang berlaku,” tambah Moses.
Pihak polis masih menjalankan siasatan dan menolak dakwaan bahawa insiden berlaku kerana lelaki terbabit menghidap masalah mental. – Agensi