Mahdzir Khalid Cadang Perluas Pengambilan Pembantu Guru


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan bercadang untuk memperluaskan pengambilan pembantu guru Gred N17 di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan guru, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dalam pengambilan pembantu guru, antara perkara yang perlu diambil kira ialah jumlah pembantu guru yang diperlukan di setiap sekolah dan kadar bayaran gaji mereka.

“Pertama kita tengok dulu jumlah setiap sekolah kena ada berapa orang (pembantu guru). Keduanya kita kena lihat bayaran gaji yang akan ditanggung.

“Bayangkanlah (tanggungan kerajaan), kalau semua sekolah kali dengan berapa orang, kali dengan sebulan, kali dengan 12 bulan. Jadi yang itu kita kena perhalusi dahulu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini, semalam.

Projek rintis pengambilan pembantu guru Gred N17 telah dilaksanakan di Melaka dan Kedah, hasil penubuhan sebuah jawatankuasa mengkaji beban guru pada 2010.

Mahdzir berkata perkara itu perlu diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal antara Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum sebarang keputusan diambil.

“Lepas tu baru boleh (lihat) banyak mana nak diambil, berapa tahun dia punya jangka masa dan sebagainya,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kementerian mempunyai kaedah lain untuk mengurangkan bebanan guru yang satu daripadanya ialah melalui capaian Internet yang tinggi.

“Satu yang saya nampak, jika capaian Internet yang bagus terutama di luar bandar, ia boleh mengurangkan beban tugas guru,” katanya.

Mahdzir berkata bagi merealiasasikan perkara itu, ia perlu melibatkan tanggungjawab agensi lain dalam kerajaan selain Kementerian Pendidikan. – BERNAMA