SUSPEK militan IS Ridwan Sungkar tiba di Mahkamah Jakarta Barat untuk dibicarakan, kelmarin. |
Jakarta - Tujuh lelaki yang didakwa terbabit dalam kumpulan Negara Islam (IS) mula dibicarakan kelmarin dan mungkin berdepan hukuman mati jika didapati bersalah.
Mereka didakwa terbabit dalam konspirasi jahat dan pelbagai jenayah termasuk membantu dan menyokong IS yang diharamkan di Indonesia sejak Oktober tahun lalu.
Tiga tertuduh, Ahmad Junaedi atau Abu Salman, Ridwan Sungkar atau Abu Bilal, dan Helmi Muhamad Alamudi atau Abu Royan didakwa pergi ke Syria untuk menyertai IS tahun lalu.
Pendakwa raya memberitahu, mereka juga menjalani latihan ketenteraan di Syria.
“Tertuduh mengaku menyertai IS dan menjalani latihan ketenteraan di kem kumpulan itu,” kata pendakwa raya, Teddy Irawan di mahkamah.
“Tertuduh sedar objektif latihan itu adalah persediaan melancarkan serangan pengganas,” tambahnya.
Seorang tertuduh, Tuah Febriwansyah atau Muhammad Fachry didakwa mengendalikan laman sesawang pro-IS.
Kesemua tertuduh dibicarakan secara berasingan.
Peguam bela semua tertuduh, Asludin Hatjani berkata, dia berharap anak guamnya boleh terlepas daripada dakwaan itu kerana semua kesalahan dilakukan sebelum kerajaan mengharamkan IS.
Beratus-ratus rakyat Indonesia dipercayai pergi ke Asia Barat untuk menyertai IS yang kini menguasai sebahagian besar Iraq dan Syria.
Sebilangan mereka ditahan selepas pulang.
Pegawai antipengganas sebelum ini mengadu undang-undang sedia ada terlalu lemah untuk menghalang penyokong IS ke Syria dan menyekat penyebaran maklumat radikal di Internet. -AFP