SEJAK awal pembabitannya dalam industri hiburan, aktor kacak Fizo Omar sememangnya sangat akrab dan pandai mengambil hati ibunya.
Maka, tidak hairanlah rezeki pelakon dan pengacara ini sentiasa melimpah ruah sama ada dalam kerjaya seninya mahupun dalam bidang perniagaan yang diceburi.
Terbaharu, Fizo dan isteri, Mawar Karim bakal mengusahakan restoran sajian istimewa masakan Thai demi melaksanakan impian ibunya.
Menurut Fizo, restoran yang diberi nama ‘Fizo Omar Kitchen’ dijangka mula beroperasi pada 1 Disember ini berlokasi di Bandar Baru Bangi.
“Restoran ini kiranya hadiah untuk mama saya sebab sejak lama dulu impiannya untuk memiliki restoran sendiri.
“Sebelum membuka restoran, saya belajar pelbagai jenis menu istimewa Thai dari merata tempat menarik yang khusus mempunyai menu terbaik di Thailand.
“Setelah cukup ilmu masakan, baru saya berani buka restoran ini.
“Sebabnya, saya mahu pastikan restoran ini menyediakan pelbagai jenis menu istimewa dan terbaik cita rasa Thai.
“Tetapi tidak semestinya saya yang turun ke dapur memasak. Saya mempunyai pasukan khusus dalam penyediaaan masakan Thai,” ujarnya kepada sebuah portal hiburan terkenal.
Untuk pengetahuan anda, Fizo juga mempunyai buku tulisan tentang masakan berjudul ‘Air Tangan Fizo Omar’.
Dalam perkembangan terbaru, Fizo antara selebriti popular tempatan yang menerima surat tawaran menyambung pengajian peringkat Master dan Doktor Falsafah (PHD) dari Universiti Utara Malaysia bagi kampus cawangan Kuala Lumpur. – Kedahnews.com