LALUAN dipilih pencinta haiwan, Halijah Idris, 68, bukanlah mudah, apatah lagi berdepan cemuhan segelintir masyarakat atas tindakan membuka rumah perlindungan haiwan, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.
Biarpun niat murninya mencetuskan kontroversi namun, Halijah cekal memelihara lebih 700 haiwan terbiar termasuklah anjing jalanan sendirian.
Niat wanita yang lebih mesra dengan panggilan Mak Intan ini, dia bukanlah memelihara anjing jalanan untuk dibelai sebaliknya atas jiwa prihatin terhadap haiwan itu.
“Mak Intan tidak mampu menahan air mata apabila melihat anjing ataupun kucing terbiar di jalanan tanpa jagaan malah tersentuh hati melihat kesengsaraan dialami haiwan berkenaan.
“Meskipun tindakan memelihara haiwan itu dipandang hina namun, Mak Intan nekad dan menganggap diri adalah insan terpilih dibukakan hati membantu haiwan terbabit,” katanya.
Sudah rujuk pejabat agama
Mak Intan berkata, dia tidak membuta-tuli memegang haiwan di Pak Mie Shelter tanpa pengetahuan agama dan hukum yang mencukupi.
Katanya, dia ada merujuk kepada pejabat agama untuk membolehkan mereka meneruskan niat membantu haiwan terbiar ditemui sekitar bandar Alor Setar.
“Saya sedar haiwan berkenaan termasuk dalam kategori najis mughallazah, untuk itu selepas memegang dan merawatnya, saya membersihkan diri.
"Saya akan menyamak seluruh tubuh badan dengan air bercampur tanah diikuti dengan enam kali air bersih selepas selesai menguruskan semua haiwan," katanya.
Menurutnya, dia ikhlas membantu haiwan terbiar tanpa mengharapkan sebarang balasan malah menyerahkan semua kepada ALLAH SWT untuk menghakimi tindakannya.
Tetap pertahan Pak Mie Shelter
Tanpa arwah suami, Muhammad Azmi Ismail, 58, atau lebih dikenali Pak Mie, ia langsung tidak membuatkan Mak Intan putus asa melindungi rumah perlindungan haiwan diusahakan mereka.
Katanya, dia sanggup menjual rumah dan kenderaan bagi memastikan kelangsungan rumah perlindungan haiwan berkenaan.
“Selepas ketiadaan arwah suami, Mak Intan perlu melakukan semua perkara sendiri seperti membeli 100 kilogram (kg) beras dan 100kg ayam untuk makanan 'anak-anak',” katanya.
Bagi pencinta haiwan ini, dia sanggup bangun seawal jam 6.30 pagi setiap hari untuk menguruskan keperluan harian haiwan berkenaan.
Mak Intan berkata, mempertahankan rumah perlindungan haiwan itu sendirian sememangnya sukar apatah lagi ia tidak memiliki kemudahan mencukupi.
Katanya, dia berharap diberi kebenaran untuk kekal di tapak rumah perlindungan haiwan berkenaan bagi membolehkan dia mempertingkatkan keselesaan Pak Mie Shelter.
"Kami berpeluang mendapatkan bekalan air dan elektrik untuk kegunaan Pak Mie Shelter, berbanding bergantung kepada generator buat masa ini," katanya.
Ingat nama setiap haiwan
Sinar Harian berpeluang menyaksikan kemesraan Mak Intan dengan 'anak-anak' (haiwan peliharaan) dipelihara di tanah rizab kerajaan ini.
Lebih mengharukan, Mak Intan tidak hanya menggelar dirinya sebagai mak sewaktu bercakap dengan ‘anak-anaknya’ itu, malah mampu mengingati semua nama mereka.
Beberapa nama seperti Poppy, Toto, Koko dan Senes tidak putus-putus meniti di bibir wanita berkenaan seolah-olah mengenang beberapa haiwan paling disayanginya.
“Merekalah yang menyelamatkan Mak Intan ketika hampir maut dalam dua kejadian berlainan pada 2011 lalu iaitu ketika hampir lemas dalam sungai dan ketika Mak Intan dipatuk ular tedung,” katanya.
Disebabkan itulah katanya, dia lebih menyayangi mereka lebih dari nyawa sendiri sekali gus berjanji akan menjaga mereka hingga akhir nyawa jikalau diizinkan ALLAH SWT.
Sumber: Sinar Harian