Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi |
KUALA LUMPUR – Malaysia mahu Indonesia memberikan komitmen lebih serius dalam menangani jerebu memandangkan masalah itu sering kali berulang hampir setiap tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata meskipun kepimpinan dan rakyat Indonesia dilihat prihatin terhadap keadaan itu namun dirasakan sesuatu yang diusahakan belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Dalam hal ini, kita amat berterima kasih jika pihak Indonesia dapat berbincang dengan rakan-rakan di kalangan negara ASEAN untuk mengambil langkah jangka panjang.
“Kita harap komitmennya bukan hanya di atas kertas atau kenyataan yang sekadar menjadi halwa telinga tetapi melalui pelaksanaan yang boleh mengakhiri semua permasalahan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program U-TURN di sini, hari ini.
Program terbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama TV Al-Hijrah itu bertujuan membolehkan masyarakat didedahkan dengan keberkesanan sistem parol terhadap banduan, keluarga dan komuniti. – BERNAMA