LANGKAWI - Pasukan Malaysia membawa harapan menggunung bagi mencabar beberapa negara pilihan terbaik dunia apabila berjaya melayakkkan diri ke pusingan suku akhir bagi kategori antarabangsa sebentar tadi.
Menewaskan pasukan yang mewakili negara India, ternyata strategi kapten pasukan, Muhammad Khubaib Ahmad Shukri, berhasil apabila menundukkan pasukan itu dengan kemenangan 4 - 0.
Mengaum bagaikan Harimau Malaya, ketangkasan mereka menghadapi serangan dengan pertahanan yang ampuh begitu menggamatkan dewan dengan tembakan yang tepat ke sasaran sekali gus menyaksikan anggota menekan "buzzer" kemenangan, menawan kubu pihak lawan.
Sementara itu, salah seorang anggota pasukan, Salman Farisi meletakkan harapan besar untuk menjuarai kejohanan Paintball World Cup 2015 yang julung-julung kali diadakan di Malaysia.
"Memang itu sasaran kami.
"Setelah berhempas pulas, alhamdulillah kami berjaya hingga ke tahap ini dan kami mengharapkan doa dari seluruh rakyat Malaysia, kami cuba yang terbaik demi negara," katanya sejurus selepas perlawanan berakhir.
Salman Farisi |
Selain itu, sebuah lagi pasukan yang mewakili negara, Raskal Malaysia, turut berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir bagi Division 1 setelah berjaya menewaskan pasukan Infernal yang mewakili negara jiran, Thailand, dengan kemenangan 3-2.
Ketua Operasi Penganjur Kejohanan, Syed Mohd Rizal Syed Unan Mashri berkata, pasukan-pasukan yang mewakili negara sehingga kini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dalam tempoh 4 tahun kejohanan dianjurkan.
"Kita mempunyai potensi yang lebih besar kali ini untuk muncul juara dan kejayaan melayakkan diri dari dua pasukan yang mewakili negara adalah satu perkembangang yang sangat positif," katanya.
Bagaimanapun, kedua pasukan Malaysia bakal berdepan dengan ujian getir dan sengit khususnya berdepan dengan beberapa pasukan terbaik dunia, khususnya Amerika Syarikat, Belgium dan Thailand. -Kedahnews.com