Malaysia Tuntut Perlindungan PBB Bagi Wilayah Palestin


KUALA LUMPUR – Malaysia menuntut perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan antarabangsa untuk Wilayah Palestin Diduduki bagi menghalang berterusannya pembunuhan dan pencabulan ke atas hak asasi manusia.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim berkata perlindungan PBB itu juga dapat membantu Israel menyelesaikan masalah keselamatannya.

“Gesaan untuk perlindungan PBB selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva bagi memastikan ketelusan semua pihak dalam konflik.

“Ia akan menguatkuasa atau memantau pematuhan undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi antarabangsa dan pelbagai resolusi Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan bagi memelihara keamanan dan keselamatan di wilayah yang diduduki,” katanya dalam kenyataan semasa Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan mengenai situasi di Timur Tengah termasuk Persoalan Palestin di New York pada Jumaat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan di sini, hari ini.

Ramlan berkata perlindungan tersebut pernah dilaksanakan dalam sejarah PBB termasuk di Kosovo, Timor Leste, Lebanon, Bosnia Herzegovina dan Palestin sendiri.

“Majlis tidak boleh menangguhkan mesyuarat berhubung cadangan itu dan Malaysia mahu bekerjasama rapat dengan Setiausaha Agung PBB dan anggota Majlis keselamatan berhubung perkara ini.

“Dalam gesaan untuk perlindungan PBB bagi mengatasi krisis semasa, kita tidak boleh terlepas pandang kepada keperluan jangka panjang untuk penyelesaian akhir komprehensif kepada konflik,” jelas beliau.

Ramlan berkata selepas 70 tahun kegagalan memberikan pemerintahan sendiri kepada rakyat Palestin, masyarakat antarabangsa telah kehilangan dalil untuk membenarkan alasan yang mewajarkan penjajahan Israel.

Menurut beliau kelewatan menyelesaikan masalah asas kepada konflik membawa kepada kegagalan mesyuarat Quartet dan kemalapan pilihan raya serta hubungan dua hala yang tidak bersungguh telah menjadi penghalang kepada pendudukan berpanjangan sehingga menafikan keadilan, maruah dan kebebasan rakyat Palestin.

Tegasnya, majlis perlu bertindak segera membetulkan masalah asas konflik berikutan situasi yang semakin buruk dan menamatkan konflik pendudukan yang paling panjang dalam sejarah moden.

“Jika kita terus membutakan mata kepada masalah ini, tidak ragu kita akan membayar harga yang tinggi pada masa akan datang,” kata beliau. – BERNAMA