Mohd Shukri (kiri) bersama sukarelawan Mapim menerima sumbangan daripada pelbagai pihak di pejabat Mapim Wilayah Utara. |
SUNGAI PETANI – Pengabaian terhadap penerapan agama dalam sesebuah komuniti menyebabkan berlakunya keruntuhan moral sehingga tercetus pelbagai masalah sosial dalam kalangan anak kariah.
Pegawai Tadbir Mapim, Mohd Shukri Shaari berkata, selain terpesong tanpa panduan agama, sesetengahnya pula dilihat terpengaruh dengan media baharu apabila secara mudahnya menjadi penyebar fitnah dan saling buruk sangka.
Menurutnya, perkara itu kemudian cenderung kepada berlakunya kecelaruan dalam kalangan komuniti sekali gus mewujudkan masyarakat yang jauh dari institusi masjid.
“Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi wabak dalam kalangan komuniti sehingga sukar dibendung. Oleh itu, Mapim sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan terus memainkan peranan dalam pembentukan masyarakat.
“Dalam masa sama, kita jalankan fungsi masjid sebagai sebuah institusi dakwah umat Islam melalui Program Transformasi Qaryah (PTQ) supaya manfaat dapat dirasai anak kariah serta kelompok sekitarnya," katanya.
Menurut Shukri, melalui modul PTQ yang disediakan, pihaknya berharap masjid dapat dijadikan pusat penggerak bukan sahaja dalam menyebarkan agama Islam sebaliknya turut digunakan sebagai pusat pembangunan masyarakat dan kariah
“Sekiranya kariah terdiri dalam kalangan masyarakat yang mempunyai sahsiah Islam yang utuh, membina negara bercirikan Islamik dalam direalisasikan dalam masa sama, komuniti terhindar dari gejala sosial dan keruntuhan akhlak,” katanya.
Katanya, pelancaran pertama PTQ di Kedah akan dilaksanakan hari ini (2 Oktober) di Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok dengan pelbagai pengisian menarik.
Tambahnya, ini merupakan pelaksanaan kedua selepas sebuah masjid di Perak memulakan PTQ kepada masyarakat melibatkan agensi kerajaan dan swasta dengan pelbagai aktiviti dijalankan.
“Ia bermatlamat mengimarahkan dan membudayakan masjid sebagai sebuah institusi yang mampu membangunkan ummah,” katanya menjelaskan pengisian bermula dari jam 5 pagi hingga 11 malam.
Katanya, Mapim meminta komuniti sekitar hadir memeriahkan PTQ yang diisi dengan pelbagai program bermula dengan kuliah Subuh, pemeriksaan kesihatan percuma, tazkirah Jumaat oleh Presiden Mapim, Kuliah Muslimat, Bengkel PTQ, aktiviti riadah dan Forum Perdana.
Majlis Pelancaran PTQ akan dibuat sebaik sahaja selesai Forum Perdana pada sebelah malam.
Beliau turut mengalu-alukan mana-mana masjid yang ingin turut serta menjalankan PTQ menghubungi Mapim dalam usaha membudayakan masjid sebagai sebuah institusi bermanfaat untuk komuniti.
Sumber: Sinar Harian