Maria Farida Perjelas Tuduhan Rampas Suami Rakan Karib

Aktres jelita, Maria Farida
NAMA aktres jelita, Maria Farida tiba-tiba menjadi perbualan hangat peminat hiburan menerusi laman sosial selepas muncul dakwaan menyatakan dia sedang menjalin hubungan dengan seorang lelaki berstatus suami orang.

Lebih panas dan sensasi, lelaki yang dikaitkan dengan bintang filem Datin Ghairah itu merupakan suami kepada kawan baiknya yang dikenali dengan nama Datin K.

Tampil menjawab segala kontroversi, Maria berkata, semua tuduhan terhadapnya adalah tidak benar dan mengarut.

“Saya hairan bagaimana orang ramai boleh cepat percaya pada gosip mengarut itu.

“Wanita yang dimaksudkan sebagai kawan baik saya itu sebenarnya sudah bercerai dengan suaminya sejak Ogos lalu. Dan wanita itu (K) tidak lagi bergelar Datin.

“Kalau tak percaya, boleh tanya sendiri pada bekas suami dan anak-anaknya. Saya luahkan semua ini kepada Mangga Online kerana saya dah tak tahan kena hentam, dikritik dan diburukkan macam-macam cerita yang saya tidak buat.

“Masalah ini timbul apabila saya tarik diri daripada terus menjadi duta produk kecantikan wanita itu (K). Sejak Ramadan lalu saya sudah tarik diri dan tidak mahu terlibat lagi.

“Puncanya kerana dia melanggar kontrak perjanjian iaitu perlu membayar saya sebanyak sepuluh peratus hasil produk. Tak sampai setahun pun saya jadi duta tetapi saya tidak dibayar mengikut syarat dan terma kontrak.

“Kalau ikutkan memang saya boleh ambil tindakan sebab dia dah langgar syarat kontrak tetapi saya diamkan sahaja memandangkan dia pernah menjadi kawan baik saya selama dua tahun.

“Mungkin sejak itulah dia marah dan masa itu pula rumah tangganya sudah berantakan. Saya dapat tahu dia dan suami bercerai selepas Hari Raya baru ini.

“Jadi, apakah kaitan saya dituduh hancurkan rumah tangga dia? Saya dah keluar daripada menjadi duta syarikatnya sejak Ramadan lagi.

“Jadi, janganlah buat tuduhan macam-macam dan memburukkan-burukkan nama serta reputasi saya,” tegas Maria kepada sebuah portal hiburan tanahair.

Bagaimanapun, pelakon berusia 40-an ini mengaku rapat dengan bekas suami dan anak-anak kawan baiknya itu hanya selepas mereka bercerai.

Demi menjaga keselamatannya, Maria juga mendedahkan dia kini terpaksa melantik bodyguard dan telah membuat laporan polis di samping sedang berurusan dengan pihak peguam untuk tindakan selanjutnya. -Kedahnews.com