Masih Timbul Masalah Tidak Ada Teksi, SPAD Luah Rasa Hairan

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Terdapat sebanyak 65,292 buah teksi di seluruh Semenanjung Malaysia, namun masalah tentang ketiadaan teksi seperti yang ditimbulkan ramai pihak masih juga berlaku hingga kini.

Senario itu sekali gus menimbulkan tanda tanya agensi bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sehubungan itu, SPAD dalam satu kenyataan media memaklumkan sedang berusaha untuk menyelaraskan perkhidmatan teksi dan melaksanakan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) bagi menangani isu itu.

“Terdapat 65,292 teksi di seluruh Semenanjung Malaysia, daripada itu 44,012 adalah teksi bermeter yang sebahagian besarnya dimiliki oleh syarikat (62 peratus).

“Sejumlah yang besar, iaitu 70 peratus daripada teksi adalah tertumpu di Wilayah Tengah, dimana 95 peratus daripada mereka beroperasi di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Memandangkan angka yang besar ini, persoalan mengenai ketiadaan teksi di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang ketika waktu puncak tidak seharusnya timbul. Tetapi sepertimana diketahui dan dialami oleh umum, keadaan ketiadaan teksi ini tetap berlaku,” kata kenyataan itu hari ini.

SPAD menjelaskan, kaji selidik oleh SPAD mendapati hanya 27 peratus daripada jumlah teksi sedia ada mempunyai sambungan melalui aplikasi tempahan teksi.

Justeru, bagi mengisi kekurangan itu, SPAD akan melaksanakan CTSS yang akan berfungsi sebagai pusat bagi memantau pengagihan dan prestasi teksi.

“Ia akan diintegrasikan dengan sistem tempahan bagi meningkatkan mutu perjalanan yang dialami penumpang. Dengan adanya pemadanan pelanggan dan pendapatan yang lebih baik ini, kami percaya pemandu teksi dapat memberikan perkhidmatan yang lebih menguntungkan pengguna,” kata kenyataan itu,

SPAD turut memaklumkan akan mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang akan melibatkan semakan terhadap kuasa kawal selia secara menyeluruh ke atas industri teksi.

SPAD bagaimanapun memberi jaminan usaha-usaha itu tidak akan menghalang inovasi, melindungi model perniagaan sedia dan mengutamakan kepentingan orang ramai.

SPAD turut menjelaskan, agensi itu akan mengkaji semula polisi pelesenan sedia ada, memperbaiki program penguatkuasaan dan mewujudkan medan persaingan yang adil kepada semua pihak bagi memberi manfaat kepada orang ramai. – Kedahnews.com