Masyarakat Hutterite: Mereka Memang Tradisional, Tapi Tetap Moden


Mereka kurang menggunakan peralatan moden, malah itu yang membolehkan masyarakat Hutterite mengekalkan cara hidup sejak 400 tahun lalu.

Golongan Hutterite ini mengamalkan nilai hidup kurun ke-16 dengan rutin harian mengerjakan hasil kebun sebelum menghadiri upacara keagamaan di gereja mereka setiap malam. Namun, wujud juga unsur kemodenan apabila ada antara remajanya mempunyai akaun Instagram.

Kehidupan golongan itu berjaya dirakamkan lensa jurugambar Tim Smith di Kanada selepas kebetulan melihat sekumpulan gadis dari Koloni Hutterite Deerboine di Kanada ketika memandu pulang ke kampung halamannya di Manitoba, enam tahun lalu.


“Saya melihat empat gadis yang memakai skaf di kepala dan bergaun ala kurun ke-16 tetapi menggunakan telefon bimbit. Ia mencetuskan minat lalu saya menemui paderi yang juga ketua mereka.

“Bagi saya, kisah Hutterite begitu menarik dan penting terutama sebagai sebahagian sejarah mereka pada abad ini dengan lambakan teknologi yang mengubah masyarakat dunia dalam hanya beberapa dekad. Paderi berkenaan bersetuju dengan saya dan membenarkan kisah mereka diceritakan,” katanya.


Hutterite berbeza dengan golongan Amish kerana tidak menolak penggunaan teknologi yang membawa kebaikan untuk masyarakat mereka, termasuk Internet yang membawa pulangan baik bagi perniagaan dikendalikan mereka.


“Disebabkan itu ada yang memiliki iPhone dan iPod atau telefon pintar lain membolehkan golongan muda memperluaskan hubungan dengan Hutterite di tempat lain.

“Banyak perkara boleh dipelajari daripada semua budaya dan cara hidup di dunia ini. Kehidupan Hutterite yang tidak mengejar kekayaan dan menitikberatkan jalinan hubungan akrab memang sesuatu yang boleh dipelajari dan diamalkan kita semua,” kata Smith.






Sumber: myMetro