Gambar Hiasan |
KUALA TERENGGANU – Masyarakat perlu mengikis tanggapan negatif terhadap pesakit mental kerana ia akan memudaratkan lagi kesihatan golongan berkenaan.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata sebaliknya masyarakat perlu melayan pesakit dengan hormat tanpa diskriminasi agar mereka dapat bergaul dengan selesa bersama masyarakat, sama seperti insan normal yang lain.
“Pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental seringkali berdepan dengan masalah diskriminasi, stigma, diketepikan dalam segala aspek malah ada yang dianiaya secara fizikal dan emosi dalam kehidupan harian mereka.
“Kita mahu meningkatkan kefahaman mengenai perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan pesakit dan keluarga dapat menjalani hidup dengan bermaruah melalui kempen, polisi, latihan dan aktiviti berkaitan kepada anggota kesihatan dan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2015 di Stadium Tertutup Negeri di sini, Khamis.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Nor Zuraida Zainal.
Tahun ini Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Hulu Terengganu menganjurkan sukan itu bagi peringkat Zon Timur menggabungkan kontinjen dari Hospital Raja Perempuan Zainab, Kelantan dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang.
Sebanyak 270 pesakit mental menghadiri sukan itu yang bertujuan mengurangkan gejala kemurungan, keresahan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan mereka.
Dr. Mohammad berkata sukan untuk pesakit mental itu adalah aktiviti tahunan yang diadakan agar dapat meningkatkan keyakinan mereka serta kemahiran sosial bersama masyarakat. – BERNAMA