Mayat Lelaki Ditemui Dengan Kesan Tikaman, Tetak Di Kepala Dan Tubuh

Gambar Hiasan
KOTA TINGGI – Mayat seorang lelaki tempatan dijumpai dengan kesan tikaman dan tetakan di bahagian dada dan kepala di sebuah kebun di Felda Simpang Waha, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata, mayat itu dijumpai orang awam kira-kira pukul 7.56 pagi sebelum mereka memaklumkan polis yang bertugas di Pondok Polis Simpang Waha, di sini.

Menurutnya, siasatan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan tikaman dan tetakan di bahagian kanan dada dan kepalanya.

“Mangsa dikenal pasti sebagai Jasni Amin, 40 dan tinggal di Felda Bukit Aping Barat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Rahmat berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi menentukan motif kejadian sebenar.

Mayat mangsa kini telah dihantar ke Unit Forensik Kesihatan Hospital Kota Tinggi untuk tindakan susulan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA