Mayat Wartawan BBC Tergantung Di Tandas Lapangan Terbang Turki

Jacqueline Sutton
Seorang wartawan British Broadcasting Channel (BBC) yang berkhidmat untuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jacqueline Sutton, 50, ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam sebuah bilik air di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki, awal pagi waktu tempatan, hari ini.

Menurut sumber akhbar Turki, Hurriyet, Sutton dipercayai berada di lapangan terbang itu bagi transit untuk meneruskan penerbangannya ke Iraq.

Media tidak menjelaskan punca kematian Sutton setakat ini namun kebanyakan rakan sekerjanya mahu menuntut keadilan bagi menyiasat punca kematian misterinya.

Namun, banyak spekulasi mengatakan mangsa berkemungkinan membunuh diri gara-gara tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan baru memandangkannya sudah terlepas penerbangan ke Iraq.

Seorang rakan kerja mangsa, Rebecca Cooke berkata, “berita kematian Jacky Sutton di Istanbul adalah sesuatu yang mengejutkan dan menyedihkan kami semua. Satu lembaga penyiasatan antarabangsa dan tempatan perlu diadakan bagi menyiasat kematiannya”.

Sutton merupakan seorang wartawan yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan seluruh dunia sejajar dengan kerjayanya dengan UN.

Dia menjadi koresponden BBC di Irbil, Iraq sejak beberapa tahun lalu. -Kedahnews.com