Melaka Rugi RM49.72 Juta Angkara Jenayah Kormesial

Gambar Hiasan
MELAKA – Kes jenayah komersial di Melaka telah menyebabkan kerugian RM49.72 juta untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt Ee Khong Koy.

Beliau berkata jumlah kerugian itu juga menunjukkan peningkatan mendadak yang amat membimbangkan berbanding kerugian berjumlah RM10.28 juta untuk tempoh sama tahun lepas.

Katanya dalam tempoh sama juga jumlah kes jenayah komersial meningkat kepada 653 kes berbanding 554 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah tangkapan dalam tempoh itu juga meningkat iaitu 242 tangkapan berbanding 238 tangkapan tahun lepas, pihak polis sentiasa berusaha membanteras segala jenis jenayah di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu Ee berkata polis sedang memburu seorang lelaki disyaki melakukan penipuan berkaitan perkhidmatan katering majlis perkahwinan yang menyebabkan kerugian berjumlah RM26,550.

Beliau berkata lelaki berusia lewat 30-an itu dipercayai menjalankan perniagaan perkhidmatan katering di bawah nama Azmi Catering & Events Services dan pihak polis telah menerima tiga laporan setakat ini mengenai penipuan tersebut sejak Mei lepas.

“Semua mangsa berusia antara 23 tahun hingga 60 tahun. Polis juga percaya masih ada lagi mangsa yang belum membuat laporan polis, kita mohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi pihak polis,” katanya. – BERNAMA