Memenuhi Impian Anak Malaysia Takluk Antartika Secara Solo

Peserta solo Ekspedisi Jelajah Kutub Selatan ‘All The Way 2015’, Shahrom Abdullah
KUALA LUMPUR – Peserta solo Ekspedisi Jelajah Kutub Selatan ‘All The Way 2015’, Shahrom Abdullah, 100 peratus sudah bersedia untuk menakluk Antartika setelah berjaya menyelesaikan empat fasa latihan sempena persediaannya dalam misi mengharumkan nama negara.

Dalam persiapannya ke Antartika, Shahrom telah melalui empat sesi latihan di kaki pergunungan Gunung Everest, Nepal, Norway, Alaska dan Janda Baik, Pahang, yang mana setiap satu mempunyai objektifnya yang tersendiri.

Antaranya, latihan itu diadakan bagi Shahrom menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk melampau, kecergasan fizikal selain mempelajari teknik ski yang akan diaplikasikan beliau sepanjang di sana selama 60 hari.

“Persiapan setakat ini semua berjalan lancar dari segi latihan fizikal dan mental serta dari segi peralatan. Dekat sana nanti yang paling mencabar, salah satu adalah cuaca yang mana boleh mencecah sehingga negatif 40 darjah celcius.

“Itu adalah satu faktor yang saya perlu ambil serius serta kena tangani dengan berhati-hati.

“Sebelum ini pun saya dah hadapi latihan (cuaca sejuk melampau) menerusi fasa ketiga di Alaska, di sana saya menjalani latihan yang mencukupi dengan tunjuk ajar daripada jurulatih profesional,” katanya dalam sesi sidang media penajaan Air Hidrogen Beralkali i-Mizu, di sini semalam.

Majlis penyerahan penaja rasmi minuman Shahrom sepanjang ekspedisinya itu turut dihadiri Penasihat Kelab Ekspedisi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles, Pengerusi KE7B, Muqharabbin Mokhtaruddin, Pengarah Urusan Kumpulan Miresco Intergrated Sdn Bhd, Dr Mohd Ihsan Che Mohd Noh, Pengurus Besar Kumpulan Miresco Intergrated Sdn Bhd, Faizal Jefferi Mohd Rustam dan Pengarah Medianya, Hazran Mohamed.

Dari kiri, Dr. Mohd Ihsan Che Mohd Noh, Muqharabbin Mokhtaruddin, Shahrom Abdullah, Datuk Akmar Hisham Mokhles, Hazran Mohamed dan Faizal Jefferi Mohd Rustam.
Sementara itu, menurut Datuk Akmar, penajaan daripada syarikat tempatan untuk ekspedisi sebegini adalah satu langkah yang baik dalam membuat pembaharuan dengan tidak lagi bergantung kepada produk jenama antarabangsa semata-mata.

“Kita berbesar hati dengan adanya produk i-Mizu dalam ekspedisi kali ini. Lapan tahun dah berlalu (penubuhan KE7B), Alhamdulillah kita dah mencapai kejayaan, kita pernah hantar tujuh rakyat Malaysia ke puncak Everest, lapan orang merentas Greenland serta tujuh orang berenang merentas Selat Inggeris.

“Dengan adanya produk ini, kita harap ada pembaharuan dalam sukan lasak negara kita, mungkin selepas ini kita tidak lagi bergantung semata-mata kepada produk luar negara. Ini antara produk-produk yang boleh diketengahkan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Shahrom akan menggunakan bekas air i-Mizu yang boleh menukarkan air salji menjadi air hidrogen beralkali yang mengandungi pelbagai khasiat penting untuk badan sebagai bekalan tenaganya sepanjang di sana.


Dalam ekspedisi itu, Shahrom akan menjelajah sejauh 1,000 kilometer (km) yang mana beliau akan berski sejauh 25 km sehari.

Perkembangan Shahrom juga akan sentiasa diawasi oleh team KE7B menerusi telefon satelit yang akan menghantar maklumat terkini pendaki itu sebanyak dua kali dalam seminggu.

Shahrom yang merupakan atlit sukan lasak negara akan bertolak pada 12 November ini dan penjelajahan sebenar akan bermula lima hari selepas itu. -Kedahnews.com