Mendiang Yuen Seorang Yang "Luar Biasa", Komited – Abu Zahar


NILAI – Mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng disifatkan seorang yang berkeperibadian ‘luar biasa’ dan komited dalam bidang kepolisan terutamanya ketika era menentang komunis dahulu, menurut Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Beliau berkata Yuen yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak tidak pernah melihat perbezaan kaum dan agama sebaliknya menganggap dirinya sebagai orang ‘Cina, Melayu dan India’.

“Ini kerana mendiang berasal daripada keluarga yang sederhana dan seorang yang merendah diri sehingga akhir hayatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Peringatan Xiao En di sini, pada Sabtu.

Abu Zahar juga menganggap mendiang sebagai seorang ‘abang’ dan pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat negara.

“Saya menyifatkan mendiang sebagai simbol ‘True Malaysian‘ kerana amat menitikberatkan keselamatan negara dan berharap ia dapat menjadi contoh kepada anak bangsa pada masa kini,” katanya.

Di Pusat Xiao En di Jalan Kuari, Cheras, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata pemergian mendiang Yuen pada usia 88 tahun pastinya akan dikenang oleh setiap lapisan masyarakat sebagai seorang daripada wira negara yang berjaya melumpuhkan ancaman komunis di negara ini.


Beliau berkata mendiang akan terus dikenang sebagai ikon perpaduan di dalam PDRM yang terdiri daripada berbilang kaum.

“Semangat perpaduan dalam diri mendiang amat kental dan ini terbuktii dengan ungkapan yang menjadi azimat kepada seluruh warga PDRM: Saya adalah Melayu, saya India dan saya juga Cina. Jika seseorang bercakap buruk tentang Melayu – ia seperti seseorang mencederakan satu daripada bahagian badan saya.

“Dalam polis tidak ada istilah bangsa dan kaum…kami berjuang atas satu pasukan demi mempertahankan Malaya daripada ancaman komunis,” katanya ketika berucap.

Bekas Ketua Polis Negara yang keempat, Tun Mohammed Haniff Omar pula menyifatkan mendiang seorang yang berprofil rendah dan tegas dalam menjalankan tugas.

Menurut beliau, mendiang seorang yang berdedikasi, bertimbang rasa kepada anggota bawahannya dan tidak pernah sesekali memarahi mereka.

“Saya ingat lagi dia (Yuen) pernah tangkap komunis dan bawa ke rumahnya serta meminta isterinya memasakkan makanan kepada mereka (komunis).

“Selepas itu, dia cuba untuk menyedarkan komunis bahawa ideologi mereka adalah salah serta cuba bawa mereka pulang ke pangkal jalan,” katanya.

Yuen meninggal dunia di kediaman anak perempuannya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada Khamis, kira-kira pukul 6 pagi, berikutan masalah jantung.


Mendiang yang dilahirkan di Larut, Perak terkenal dengan jasanya sebagai seorang daripada perunding utama Rundingan Damai Hatyai, dan bersama dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ke China bertemu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, Abdullah C.D dan Rashid Maidin.

Malah Yuen pernah ditembak di bahagian dada di Grik pada tahun 1951 dalam satu pertempuran dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang ketika itu Chin Peng adalah setiausaha agungnya.

Yuen meninggalkan isteri Puan Sri Chan Choy May, 68; dua anak perempuan Susan Yuen Sumin, 56; dan Marina Chan Chean Gaik, 54; dan dua cucu berusia 20-an. – BERNAMA