Menteri Pendidikan Doakan Yang Terbaik Buat Calon PT3 Seluruh Negara

Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid mendoakan agar semua pelajar sekolah yang terlibat dengan peperiksaan PT3 yang berlangsung hari ini dapat menghadapinya dengan tenang dan melakukan yang terbaik.

Beliau turut berpesan kepada para ibu bapa dan guru-guru untuk memainkan peranan memberikan motivasi pada para pelajar yang terlibat.

"Ibu bapa serta para pendidik dipohon memotivasikan anak-anak serta pelajar masing-masing agar tenang menghadapi PT3. 

"Saya mendoakan semoga semua pelajar dianugerah nikmat kesihatan dan ketenangan agar dapat menghadapi PT3 dengan tenang dan berjaya melakukan yang terbaik serta menatijahkan hasil yang terbaik... All The Best..," katanya yang dipetik dari laman Facebook rasminya.


Ujian bertulis itu yang akan berakhir Khamis ini memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan gred keputusan peperiksaan di dalam bentuk A, B, C, D, E, dan F.

PT3 sebelum ini telah menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan merangkumi 12 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam, sejak tahun lalu.

Mata pelajaran lain ialah Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun yang diajar di sekolah-sekolah tertentu di dalam negara. -Kedahnews.com