Menteri Pendidikan Harap TVET Diutamakan Dalam Bajet 2016

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid
PADANG TERAP – Kementerian Pendidikan berharap kerajaan akan mengutamakan peruntukan bidang Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) di bawah Bajet 2016 yang akan dibentangkan, 23 Okt ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian kini sedang menaik taraf kolej vokasional di seluruh negara dan berharap kerajaan memberi tumpuan serta peruntukan dalam aspek peralatan dan mesin untuk TVET.

Katanya, kementerian juga berharap peruntukan aspek keselamatan sekolah meliputi penyelengaraan dan pendawaian semula turut diberi perhatian, memandangkan banyak kes kebakaran di sekolah berpunca daripada peralatan lama.

“Cakap pasal keselamatan, secara holistik di seluruh negara, bidang yang jadi tumpuan dan perlu dibuat penambahbaikan ialah keselamatan anak-anak di sekolah, itu perlu diambil keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Pedu di sini hari ini.

Selain itu beliau turut berharap agar peruntukan dalam bentuk latihan dapat diutamakan seperti penganjuran kursus latihan kepimpinan jangka pendek dalam kalangan guru besar, pengetua dan pegawai pendidikan.

Mengulas mengenai isu sesetengah sekolah enggan membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) menggunakan kemudahan sekolah untuk Hari Sukan Negara semalam, beliau berkata, ia sepatutnya dibenarkan selagi tidak menyalahi peraturan.

“Asalkan ia tidak menyalahi peraturan, undang-undang, kita boleh benarkan tempat itu digunakan. Janganlah terlampau ‘rigid’ sehingga kita menjadi bukan sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, terdapat sesetengah sekolah yang membenarkan kemudahan sekolah digunakan, namun mereka mengenakan sedikit bayaran untuk bil elektrik serta kebersihan dan ia tidak menjadi masalah. – BERNAMA