#MH17: Duta Rusia Nafi Misil BUK Milik Negaranya


Pihak berkuasa Rusia bukan sahaja enggan mengaku bertanggung jawab, malah mereka menuding jari ke arah Jawatankuasa Keselamatan Belanda berhubung tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH17.

Duta Rusia di Malaysia, Valery N Yermolov berkata, penyelidikan yang memutuskan bahawa pesawat penerbangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat BUK buatan Rusia, menimbulkan banyak tanda tanya.

Yermolov juga menafikan pembabitan Rusia dengan insiden yang membunuh kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, dengan mengatakan bahawa misil yang dimaksudkan itu telah ditamatkan penggunaannya sejak tahun 2011.

“Peluru berpandu BUK yang dinyatakan dalam laporan tersebut dicipta pada tahun 1986, semasa peperangan dengan tentera Soviet Union, selepas kemerdekaan diumumkan. Ianya mempunyai tempoh jaminan selama 25 tahun,” kata Yermolov dalam sidang media yang diadakan di kedutaan Rusia, hari ini.

“Pada 2011 pihak berkuasa Rusia telah menghentikan penggunaan misil BUK tersebut, namun setakat pengetahuan kami, tentera Ukraine memiliki 520 butir pelurunya.”

Jawatankuasa Keselamatan Belanda sebelum ini mendedahkan bahawa peluru berpandu yang telah menembak jatuh MH17 semasa pesawat itu dalam perjalanan di kawasan Timur Ukraine merupakan daripada jenis 9N314M.

Menurut Yermalov lagi, peluru berpandu BUK yang lebih kurang sama bukan sahaja dimiliki oleh Rusia, malah negara-negara bekas jajahan Soviet dan juga sekutu NATO, seperti Greece.

“Ini bermakna misil tersebut bukanlah hak eksklusif Rusia, tetapi juga bekas ahli negara-negara Soviet Union.”

Yermalov turut mendedahkan bahawa peluru berpandu BUK yang dimiliki oleh Rusia kini, tidak mempunyai bentuk ‘rama-rama’ seperti yang dijumpai pada fiuslaj MH17.

“Misil-misil yang kami miliki hari ini mempunyai serpihan berbentuk paip selari, namun misil yang dijumpai pada fiuslaj itu merupakan jenis misil yang digunakan secara meluas oleh pihak pemisah lain,” jelas Yermalov.

Beliau juga mengadu tentang penyiasatan itu yang dianggap kurang telus, sambil menyatakan bahawa pakar Rusia sentiasa sedia bekerjasama namun dinafikan akses serta penglibatan terhadap bahan-bahan yang didapati daripada jawatankuasa yang diketuai oleh Belanda itu.

“Daripada pemahaman kami, laporan yang dikumpul oleh pakar daripada Almaz-Antey iaitu penghasil utama peluru berpandu BUK tersebut juga tidak dipedulikan,” katanya. -Kedahnews.com