#MH17: MAB Rakam Penghargaan, Berterima Kasih Atas Laporan Akhir Siasatan


KUALA LUMPUR – Malaysian Airlines Berhad hari ini menyuarakan terima kasih serta penghargaannya kepada Lembaga Keselamatan Belanda di atas laporan akhir siasatan melibatkan pesawat MH17.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAB berterima kasih kepada pasukan itu di atas butiran terperinci laporan itu yang melibatkan tempoh panjang serta sumber-sumber yang banyak.

“Kami mengalu-alukan pengumuman hasil laporan itu dan berharap ia dapat memberi penjelasan kepada keluarga mangsa kejadian yang amat tragik berkenaan.

“MAB juga memberi jaminan kepada semua waris mangsa bahawa kami akan terus bekerjasama dengan pihak berwajib membabitkan semua perkara berkaitan dengan kejadian yang menimpa pesawat MH17.

“Malah, sokongan kami terhadap keluarga terbabit akan terus ada sehinggalah semua isu berkaitan dapat diselesaikan,” katanya.

MAB berkata, ia juga amat menghargai sokongan diberikan kerajaan Belanda dalam mengendalikan kesemua aspek tragedi berkenaan serta usahanya mengetuai siasatan teknikal.

Menurut kenyataan itu, MAB telah bekerjasama erat dengan pihak berkuasa Belanda dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat.

Dalam kejadian itu, kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, maut selepas ia ditembak jatuh di ruang udara Donetsk di timur Ukraine, pada 17 Julai tahun lepas. – BERNAMA