Mourinho (tengah) diarah berada di tempat duduk penonton. |
PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho enggan ditemuramah pihak media selepas diarah berada di tempat duduk penonton serta aksi tewas 2-1 kepada West Ham di Upton Park dalam aksi Liga Perdana, Sabtu malam.
Mimpi ngeri kekalahan The Blues berterusan apabila tewas kali kelima dalam sepuluh perlawanan sekaligus memberi tekanan kepada Mourinho yang turut menyalahkan media dalam aksi tewas ini.
Chelsea tewas selepas bermain dengan sepuluh pemain apabila Namenja Matic dilayangkan kad kuning kedua sekaligus diarah keluar padang apabila melakukan kesalahan terhadap pemain tuan rumah, Mauro Zarate dan menolak Diafra Sakho pada minit ke-44.
Tindakan pengadil Jonathan Moss mengeluarkan kad merah kepada pemain tengah itu membuat Mourinho berang dan berada di ‘touchline’ sekaligus dia diarah meninggalkan padang bersama jurulatih skuad utama, Silvino Louro yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil itu.
Awal bulan ini, Mourinho turut didenda 50,000 pound (RM325,656) dan digantung satu perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) kerana mengkritik pengadil Robert Madeley ketika aksi tewas 3-0 kepada Southampton, 3 Oktober lalu.
Dalam perlawanan itu, Zarate memberi jaringan awal kepada West Ham pada minit ke-17 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.
Namun Gary Cahill berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua, minit ke-55.
Berjauhan dengan pengurus tidak menghalang pemain-pemain Chelsea mempamerkan aksi lebih baik, namun situasi kemuncak dalam mencari gol kemenangan tersekat apabila pemain gantian, Andy Carroll menyumbat gol kemenangan buat West Ham, minit ke-79.
Kekalahan tersebut menyaksikan kekebalan skuad bimbingan Slaven Bilic di laman sendiri apabila sebelum ini turut menewaskan pasukan Arsenal, Liverpool dan Manchester City.
Sumber: mStar