Jose Mourinho |
MOURINHO kini berada dalam situasi paling buruk, tetapi tetap berpuas hati dengan cara beliau mengendalikan Chelsea pada musim ini dengan berkata: "Saya tidak takut, saya tidak menangis, saya tidak terdesak".
Kemenangan Southampton 3-1 di Stamford Bridge, pada Ahad membuatkan juara Liga Perdana Inggeris musim lepas ini berada dalam kedudukan bahaya dan membawa kepada cadangan yang tidak dapat dielakkan bahawa pemilik Chelsea, Roman Abramovich akan mengambil pengurus baharu.
Mourinho, yang menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan, mencadangkan kepada media untuk bertanyakan terus kepada pemainnya tentang prestasi mengecewakan mereka, ketua pasukan John Terry di antaranya sama ada mereka menyokong pengurus Portugis itu atau laporan spekulasi.
"Sesiapa sahaja boleh menyatakan apa yang mereka mahu. Saya fikir anda perlu pergi terus kepada pemain," kata Mourinho.
"Duduk bersama pemain di Cobham (tempat latihan Chelsea) minggu depan - John Terry tidak berada dalam pasukan kebangsaan, begitu juga Diego Costa dan Ramires. Tanya mereka.
"Jika mereka memberitahu anda mereka tidak percayakan saya, ia adalah satu-satunya perkara yang boleh membuatkan saya meletakkan jawatan. Satu-satunya perkara! Tetapi bukan sumber palsu. Duduk berdepan dengan pemain sendiri."
Mourinho menegaskan beliau telah mengendalikan musim ini dengan baik, selepas kekalahan keempat dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris.
"Ia membuatkan saya memahami bagaimana besarnya tanggungjawab saya," katanya.
"Saya tidak takut. Saya tidak menangis, saya tidak terdesak. Ia membuatkan saya sedar betapa besarnya peranan saya dulu dan sekarang."
Sumber: mStar