MTUC Mahu Elaun Cola Untuk Pekerja Sektor Swasta


SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengemukakan beberapa cadangan demi manfaat rakyat untuk pertimbangan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2016 termasuk memberi elaun bantuan sara hidup (Cola) kepada pekerja sektor swasta.

Timbalan Setiausaha Agungnya A.Balasubramaniam berkata cadangan itu perlu bagi para pekerja sektor swasta yang menghadapi bebanan akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Cola perlu dilaksanakan dalam sektor swasta seperti yang diamalkan dalam perkhidmatan awam.

“Kerajaan persekutuan telah memberikan Cola kepada penjawat awam sejak beberapa tahun lalu (dan oleh itu) kenapa sektor swasta tidak turut sama,” katanya kepada Bernama apabila ditanya mengenai senarai impian MTUC untuk Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini.

Balasubramaniam mahu kerajaan menaikkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM1,200 bagi semenanjung, Sabah dan Sarawak memandangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April tahun ini telah memberi kesan ke atas mereka yang pendapatan rendah.

Dasar gaji minimum di Malaysia dilancarkan pada 1 Jan, 2013 dengan gaji minimum di semenanjung ditetapkan pada RM900 sebulan manakala di Sabah dan Sarawak RM800.

Beliau berkata MTUC menuntut satu kajian semula diadakan berhubung kadar gaji minimum memandangkan semakan semula perintah gaji minimum perlu diadakan sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali.

“Yang jelas, kos hidup meningkat sejak perintah gaji minimum pada 2012 dibuat dan perkara ini secara munasabah membawa kepada peningkatan dalam kadar gaji minimum,” katanya.

Menjawab soalan berhubung kenaikan kadar tol di lebuh raya baru-baru ini, Balasubramaniam berkata kerajaan perlu mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol yang menyaksikan 12 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 bermula Khamis lepas (15 Okt). – BERNAMA