Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Christoph Mueller. |
KUALA LUMPUR - Satu peralihan struktur kerja sedang dalam pelaksanaan dalam syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB), kata Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller.
Sebagai langkah awal dalam mengubah struktur kerja syarikat tersebut, beberapa siri mesyuarat telah diadakan di antara pekerja dan bekas pemimpin kesatuan pekerja MAB, kata Mueller kepada portal berita Australia, Sydney Morning Herald (SMH).
Mueller berkata MAB telah lama menjadi sebuah pengurusan yang beroperasi secara hirarki.
“Terdapat banyak lapisan. Maklumat tidak dapat diedarkan secepat yang diinginkan,” kata Mueller dalam wawancara itu.
Ethos Mueller dalam mencapai hasrat penstrukturan semula kerja adalah dengan melibatkan diri dengan kesatuan yang dianggotai pekerja-pekerja syarikat dan mendorong mereka untuk bekerja dalam satu pasukan.
“Saya ingin mengurangkan pengurusan berdasarkan hirarki dan berhasrat untuk bekerja sebagai satu pasukan,” kata Mueller.
Tambahnya, tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17 pada tahun lalu telah mempengaruhi penjualan tiket syarikat penerbangan tersebut terutamanya di beberapa buah negara termasuk China dan Australia.
“Australia telah banyak dipengaruh oleh kejadian MH370 terutamanya berdasarkan fakta bahawa lokasi pencarian dijalankan di luar Perth. Selain dari itu, media sosial juga banyak mempengaruhi penjualan tiket kapal terbang.
“Di China pula, ia dipengaruhi oleh kepercayaan karut yang sukar diterima ” kata Mueller.
Berdasarkan pengalamannya dalam bidang penerbangan yang menjangkau 25 tahun, Mueller merupakan calon yang paling sesuai untuk mengendalikan tugas di MAB -- satu tugasan yang digelar sebagai salah satu 'pekerjaan yang paling sukar digalas seorang Ketua Pegawai Eksekutif' -- di dunia.
Mueller turut memainkan peranan penting dalam pemulihan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa antara tahun 1994-1999.
Pada 1 Jun, 2015 MAB telah mengeluarkan surat pemberhentian kepada 20 ribu kakitangannya dalam usaha memulihkan aliran kewangan syarikat.
Daripada jumlah itu, 6,000 telah ditamatkan kontrak manakala 14,000 lagi ditawarkan pekerjaan oleh MAB.
Sumber: Awani