Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir |
LANGKAWI - Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan prasarana di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mencukupi untuk memenuhi keperluan syarikat penerbangan AirAsia yang bercadang menjadikannya sebagai hab operasi terbaharunya.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir semalam berkata persediaan awal perlu dibuat bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan terbang itu tidak terjejas biarpun berlaku peningkatan jumlah operasi penerbangan.
"Kita kena pastikan sebelum itu prasarananya mencukupi dan sempurna daripada peringkat awal ia bermula dan kita memang mengalu-alukan sekiranya jadi kenyataan apa yang dihasratkan oleh AirAsia itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Firefly dari Kota Bharu ke Langkawi.
AirAsia baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsanya bagi rantau ini menjelang hujung tahun ini.
Mengumumkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Aireen Omar berkata syarikatnya sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk meneliti bagaimana Langkawi dapat dibangunkan sebagai hab antarabangsa rantau ini.
Sementara itu, Mukhriz berkata langkah Firefly memulakan penerbangan Kota Bharu - Langkawi dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong domestik ke Langkawi khususnya dari kalangan rakyat di negeri-negeri Pantai Timur.
Katanya pengenalan penerbangan itu juga dibuat pada masa yang tepat memandangkan tahun depan telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Kedah.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata sebagai permulaan, penerbangan ini akan dibuat tiga kali seminggu dan akan ditambah kepada setiap hari jika permintaan memberangsangkan.
"Kita menjangkakan purata 3,600 penumpang akan menggunakan penerbangan ini dalam setahun dan boleh meningkat lagi jika mengambil kira musim puncak pelancongan," katanya. - Bernama