Naib Presiden Ditahan Polis, Dakwa Ada Kaitan Cuba Bunuh Presiden

Mangsa yang cedera dalam insiden letupan bot yang dinaiki Presiden Maldives, Abdulla Yameen, dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.
MALE, Maldives - Naib Presiden Maldives, Ahmed Adheeb ditahan pada Sabtu berhubung siasatan terhadap insiden letupan di atas bot yang dinaiki presiden, Abdulla Yameen.

Adheeb ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dalam insiden yang menjurus kepada cubaan untuk membunuh Presiden Maldives.

Yameen bagaimanapun terselamat tanpa mengalami kecederaan dalam insiden letupan di atas bot presiden, Finifenmaa pada 28 September lalu.

"Kita telah menahan naib presiden berhubung insiden Finifenmaa," kata pegawai polis kepada Reuters.

"Beliau kini dalam jagaan polis di pusat tahanan Dhoonidhoo." 

Kejadian berlaku ketika Yameen tiba di Maldives selepas pulang dari Arab Saudi.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Moosa Ali Jaleel dipecat kerana kelalaiannya dalam aspek keselamatan menjurus kepada cubaan membunuh presiden negara itu.

Pihak berkuasa Maldives mengesahkan sudah menahan dua anggota keselamatan yang mempunyai akses kepada bot Yameen tetapi belum mendedahkan punca letupan. - Reuters