Nilai Matawang RM Ditutup Lebih Kukuh Berbanding AS Dolar


KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam susulan aliran masuk dana asing berterusan yang memasuki semula Bursa Malaysia.

Pada 5 petang, ringgit diniagakan pada 4.1200/1250 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1860 pada Selasa.

Tiada urus niaga kelmarin memandangkan pasaran ditutup sempena cuti Awal Muharram, menandakan permulaan tahun baharu Islam. 

Perubahan sentimen risiko membawa aliran masuk dana ke dalam pasaran ekuiti Malaysia dan di seluruh rantau ini, menurut Standard Chartered Bank semalam.    

"Pasaran yang mengalami pengaliran keluar dana paling banyak pada awal tahun ini kini menarik aliran masuk dana terbesar dalam prestasi meningkat ketikaini,"  menurutnya.

Pulangan jumlah dagangan tukaran asing Asia kekal amat berkait dengan aliran ekuiti, yang menunjukkan aliran ekuiti itu adalah pemacu utama mata wang Asia, menurut laporan bank berkenaan.

Peniaga tempatan berkata ringgit yang dilihat berada pada fasa penstabilan selepas kenaikan baru-baru ini, bersedia untuk menguji paras psikologi 4.0 tidak lama  lagi, jika terus mencatatkan aliran masuk dana berterusan.

Bagaimanapun, ringgit, hari ini, diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding yen kepada 3.4794/4842 daripada 3.4893/4980 pada Selasa, dan tinggi berbanding euro kepada 4.7120/7186 daripada 4.7538/7645.

Nota tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9914/9974 daripada 2.9800/9872, dan turun berbanding pound kepada 6.3790/3892 daripada 6.3662/3820 sebelum ini. - Bernama