Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin |
Ipoh - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf bertegas tidak akan tunduk kepada desakan PAS Perak.
Mereka berpendirian untuk tidak mengosongkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, berikutan mendakwa ia dimenangi atas nama pakatan pembangkang.
Mohammad Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering pada PRU-13 itu bukan semata-mata disebabkan atas nama PAS, tetapi kerana pengundi mahu kemenangan parti itu bersama pakatan pembangkang.
“Saya tidak mengkhianati bai’ah yang dibuat bersama PAS, sebaliknya parti itu yang mengkhianati Pakatan Rakyat. Sebaliknya yang patut letak jawatan bukan saya, tetapi wakil rakyat PAS kerana mereka mengkhianati pakatan yang dipersetujui bersama sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.
Datuk Dr Mujahid Yusuf |
Kelmarin, mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perak sebulat suara mendesak Mohammad Nizar dan Mujahid segera meletak jawatan sebagai ADUN dan Ahli Parlimen kawasan masing-masing berikutan tindakan mereka melanggar bai’ah dibuat sebelum ini.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata, perbuatan kedua-dua wakil rakyat itu menyertai dan memegang jawatan dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) jelas melanggar perjanjian mereka sebelum PRU-13.
Sumber: myMetro