Noorsabrina Gesa Bina Segera Hospital Di Bandar Baharu

Noorsabrina (kanan) bersama kenalan yang melihat bayi perempuannya di Hospital Kulim.
KULIM - Tempoh 15 tahun permohonan pembinaan hospital di Bandar Baharu sudah cukup lama ditunggu pelbagai pihak terutamanya penduduk sekitar.

Adun Bandar Baharu, Datuk Noorsabrina Mohd Nor berkata,  populasi penduduk yang kian bertambah dan sudah mencecah lebih 70,000 dilihat relevan bagi pembinaan hospital berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di daerah itu terpaksa mendapatkan rawatan terutamanya untuk melahirkan anak di Hospital Kulim yang berjarak melebihi 30 kilometer.

"Kebanyakan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang lain sama ada di Parit Buntar, Perak atau Pulau Pinang kerana jarak Hospital Kulim jauh. Malah, ramai ibu mengandung terpaksa pergi ke hospital di negeri lain untuk melahirkan anak.

“Jadi ia merugikan penduduk, walaupun mereka asal Kedah namun, disebabkan terpaksa memilih hospital lebih dekat, anak-anak mereka tidak mendapat status rakyat Kedah dalam MyKad kerana tak lahir di sini," katanya.

Disebabkan itu, katanya, pelan pembangunan daerah untuk mewujudkan hospital kerajaan kurang mendapat sambutan kerana melihat kepada populasi kelahiran di Bandar Baharu yang dilihat tiada peningkatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya pembinaan hospital kerajaan perlu mengambil tempoh yang lama, wujudkan dahulu pusat rawatan bersalin dalam tempoh terdekat.

“Pusat rawatan untuk wanita yang mahu bersalin sudah memadai pada waktu ini. Ramai memerlukan perkhidmatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Noorsabrina yang baru sahaja melahirkan cahaya mata ketiga di Hospital Kulim kelmarin berkata, dia memilih hospital kerajaan kerana yakin dengan kepakaran dan fasiliti yang ada.

"Pada mulanya saya ingat nak rasmi hospital Bandar Baharu dengan kelahiran anak ketiga tapi masih hampa.

“Saya akan berehat selama tiga bulan namun akan terus melaksanakan tugas melalui atas talian," katanya.

Sumber: Sinar Harian