Nurul Izzah Dakwa Guru Mengajar Tak Sampai 3 Jam Sehari

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendakwa guru-guru di Malaysia hanya mengajar selama 2.4 dan 2.9 jam sehari dengan baki masa bertugas digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain.

Dakwa beliau, guru-guru dikerahkan oleh Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan tugas-tugas bertaraf perkeranian seperti mengisi kad laporan pelajar, memantau kedatangan pelajar dan juga mengisi data dalam sistem.

“Di Malaysia, guru-guru bukan sahaja diharapkan dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), malah ditugaskan menjalankan aktiviti kokurikulum, pembangunan profesional dan program penglibatan ibu-bapa.

“Peruntukan masa untuk aktiviti P&P di Malaysia hanyalah di antara 2.4 dan 2.9 jam di dalam bilik darjah. Kerja-kerja pentadbiran memakan masa guru-guru setinggi 30 peratus,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nurul Izzah turut mendakwa, golongan guru dibebankan dengan tugasan kerja setinggi 57 jam seminggu manakala Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memaksa guru-guru bersengkang mata untuk memasukkan data pelajar.

“Sistem pendidikan negara hanya boleh dipertingkatkan jika guru dapat kembali mengajar. Pendidikan yang baik sahajalah yang mampu memacu Malaysia mencapai sasaran untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi,” dakwanya. -Kedahnews.com