Mat Isa menunjuk pembetung sambungan yang digunakan oleh Mada bersaiz kecil hingga menjejaskan saliran air ke sawah. |
POKOK SENA - Petani di Kampung Keranji, Mukim Telaga Mas, di sini kecewa apabila sistem saliran yang dibaiki oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) masih tidak berfungsi sehingga menjejaskan hasil pertanian mereka.
Mereka mendakwa, saliran yang dibina sebelum ini bagi mengatasi masalah air di 33 hektar sawah masih tidak dapat digunakan sepenuhnya berikutan kerja baik pulih yang belum sempurna.
Petani, Mat Isa Yusuf, 69, berkata, masalah saliran itu bermula apabila parit yang dibina sebelum ini terhakis dan pecah.
Menurutnya, pihak Mada sudah pun datang membaik pulih masalah itu pada Mei lalu, namun bekalan air tidak sampai ke sawah menyebabkan petani yang mengusahakan sawah padi di hujung kawasan terpaksa bergantung kepada air hujan pada musim lalu.
"Kami buat aduan sebab masalah masih tak selesai. Sehinggalah Jun lalu pihak kontraktor datang baiki semula penyambung saliran itu.
"Tapi keadaan bertambah serius apabila pihak kontraktor hanya pasang pembetung saiz kecil dari parit sedia ada," katanya.
Mat Isa berkata, keadaan itu menyebabkan air melimpah keluar apabila melalui parit berkenaan sehingga berlaku hakisan di tebing sawah.
"Paling mengecewakan, pihak kontraktor pula telah ambil tanah sawah saya untuk menambak pembetung sehingga air melimpah menyebabkan tebing terhakis," katanya.
Katanya, sepatutnya kontraktor yang dilantik itu membawa tanah mereka sendiri dan bukannya mengambil tanahnya untuk kerja penambakan di sekitar tali air itu.
"Keadaan ini menyebabkan sawah saya rosak apabila air melimpah masuk. Saya rugi hampir RM1,000 selepas benih padi dibawa air," katanya.
Malah katanya, sebelum ini petani sudah mencadangkan supaya kerja membaik pulih tali air sambungan turut dibina cerucuk dan kerja menambak tanah supaya tidak berlakunya hakisan di situ.
"Sebagai kawasan projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), sistem pengairannya perlu dijaga agar tidak menjejaskan hasil padi di kawasan ini," katanya.
Tambahnya, sasaran kawasan ini untuk mendapat satu hektar sembilan tan sudah pasti tidak akan tercapai jika masalah tidak diatasi secepat mungkin.
"Saya harap Mada dapat kenal pasti punca masalah itu dengan sewajarnya serta membina semula sambungan perparitan," katanya.
Sumber: Sinar Harian