SEORANG pekerja di sebuah pusat pemuliharaan di Palangkaraya memberi susu kepada anak orang utan yang sakit akibat jerebu. |
Palangkaraya - Jerebu tebal akibat kebakaran hutan bukan sahaja menjejaskan jutaan manusia di rantau ini, tetapi turut menyebabkan banyak haiwan mati dan jatuh sakit.
Antara haiwan yang terjejas termasuklah orang utan apabila kebakaran hutan di Borneo menyebabkan habitatnya musnah.
Pusat perlindungan orang utan di Borneo juga merancang memindahkan haiwan dalam jagaan mereka dan melancarkan misi berbahaya mencari orang utan yang terperangkap di dalam hutan.
Di pusat perlindungan Nyaru Menteng di tengah Kalimantan, 16 anak orang utan dirawat kerana sakit akibat terlalu lama terdedah dengan jerebu tebal.
Beberapa orang utan dewasa pula hanya terbaring kerana terlalu letih selepas diselamatkan dari kawasan hutan yang terbakar.
Berpuluh-puluh orang utan yang lain pula menunjukkan tanda-tanda berada dalam keadaan sangat tertekan.
Pengurus program itu, Denny Kurniawan berkata, sekiranya keadaan bertambah buruk pihaknya merancang memindahkan kira-kira 470 orang utan dalam jagaan mereka.
Bagaimanapun, operasi itu sangat sukar dilakukan dan kemungkinan banyak haiwan berkenaan sudah mati akibat terperangkap dalam kebakaran.
“Bencana kali ini adalah paling buruk sejak 1997,” katanya yang merujuk krisis jerebu paling teruk dalam sejarah.
“Kami tidak pernah terpaksa memindahkan orang utan tetapi kebakaran kali ini sangat menggila,” jelasnya. - AFP