PAC Kedah Mahu Tindakan Tegas Pada Peniaga Asing


ALOR SETAR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan terhadap warga asing yang semakin berleluasa berniaga di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Azmi Che Hussain berkata undang-undang dan peraturan PBT tidak membenarkan warga asing berniaga.

"Peniaga asing terutama peniaga kedai makan Thailand bebas berniaga tanpa menyumbang pendapatan kepada PBT sedangkan peniaga tempatan terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan. Ini tidak adil kepada peniaga tempatan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau juga meminta PBT memantau tindakan peniaga tempatan yang menyewa lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Sekiranya warga asing mahu memohon lesen, mereka perlu dikenakan bayaran  tinggi sebagaimana yang dilakukan negara seperti Singapura, katanya.   

"Jikalau peniaga tempatan dikenakan RM300 untuk memperoleh lesen perniagaan, warga asing pula harus dikenakan bayaran sehingga RM3,000," kata Azmi.

Mengenai isu pembalakan di Hutan Bukit Perangin, Wang Perah seperti yang ditimbulkan sebelum ini, beliau berkata PAC akan memanggil pihak terlibat.

"Kita mahu laporan daripada pihak terbabit bagi menyelesaikan isu tersebut," katanya. - Bernama