PAC Kedah Pandang Serius Teguran Ketua Audit Negara

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Kedah, Datuk Azmi Che Hussain
ALOR SETAR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Kedah memandang serius teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara Kedah 2013 yang menyentuh mengenai Pengurusan Pelesenan Premis Perniagaan dalam kawasan bandar raya Alor Setar.

Pengerusinya, Datuk Azmi Che Hussain berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sudah dipanggil untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

“Kita dapati pemberian lesen sementara perniagaan khususnya di kawasan Alor Setar berlarutan sejak 1967 hingga 1990 dengan catatan 65 pengusaha yang sedang berniaga menggunakan lesen tersebut.

“Mungkin MBAS ada kekangan tertentu dan kita minta mereka sediakan laporan bertulis dalam tempoh seminggu untuk diserahkan kepada PAC.  Kita akan cuba cari jalan penyelesaian," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, PAC akan menjadikannya sebagai isu penting kerana ia mungkin boleh mengakibatkan kerugian kepada kerajaan negeri dari segi pendapatan.

Sumber: Sinar Harian