PAC Kedah Panggil Semua Jabatan Terlibat Projek Balak Wang Perah


ALOR SETAR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Kedah akan memanggil semua jabatan yang terlibat dengan kerja penebangan balak di Hutan Bukit Perangin, Wang Perah untuk mendapat penjelasan.

Pengerusinya, Datuk Azmi Che Hussain berkata, masalah itu dianggap serius kerana aduan turut ditimbulkan penduduk dan wakil rakyat.

“Saya harap semua pihak bersabar hingga siasatan penuh dibuat,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Terdahulu, penduduk di Kampung Wang Perah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melakukan penebangan balak sejak setahun lalu hingga menyebabkan kampung mereka kerap dilanda banjir dan menjejaskan sumber air bersih.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan pemilik tanah di kawasan itu mempunyai hak membangunkan tanahnya selagi menepati syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Menurutnya, tanah seluas kira-kira 2,000 hektar dibersihkan untuk membangunkan projek pertanian oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) sebagai ladang getah. 

Sumber: Sinar Harian