Pakatan Harapan Bas Ekspress Yang Tidak Sampai Destinasi - Abdul Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – PAS menyifatkan Pakatan Harapan sebagai sebuah parti ‘bas ekspres’ yang tidak mungkin mencapai matlamat dalam membela rakyat di negara ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan berkompromi dengan Pakatan Harapan malah akan terus menjadi sebuah parti pembangkang yang berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti berteraskan Islam.

“PAS tidak akan menyertai sebarang rangka yang tidak berteraskan Islam kerana kami tidak mungkin naik bas ekspres yang tidak sampai destinasi yang hendak dituju, lepas itu kena jalan kaki.

“Kami mahu proses demokrasi yang beradab serta berakhlak dan tidak melupai konsep Raja Berperlembagaan malah pada masa sama mesti memelihara hubungan masyarakat majmuk,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada September lepas mengumumkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menubuhkan pakatan pembangkang baharu dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Abdul Hadi juga yakin PAS yang selama ini bersendirian akan terus berjuang sebagai sebuah parti yang memberi harapan kepada rakyat.

“Kami tidak punyai (harapan) dengan (Pakatan) Harapan, kami akan sampai ke destinasi yang kami mahukan. PAS tidak bergantung kepada mana-mana parti, yang bergantung itu parti lain,” kata anggota Parlimen Marang itu.

Bagaimanapun, katanya PAS tidak bongkak dengan kekuatan yang dimiliki parti berusia 64 tahun itu sebaliknya sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN), DAP dan PKR dalam semua perkara demi kepentingan rakyat.

“Kerjasama ini adalah kerana PAS lebih memelihara hubungan dengan rakyat bukan sahaja dengan anggota Parlimen. Kami sedia berbahas di Parlimen atau bertemu dengan pihak kerajaan dengan mengetengahkan pelbagai alternatif yang mementingkan hak rakyat,” katanya. – BERNAMA