Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man |
SHAH ALAM - Pas akan memperkasakan Pakatan Rakyat (PR) dengan penyusunan semula kekuatan antara parti itu dengan PKR.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut akan turut melibatkan beberapa buah parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, keputusan tersebut dipersetujui dalam hasil mesyuarat bersama PKR yang diadakan minggu lepas.
"Kami bersetuju untuk mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan. PR tanpa DAP adalah satu platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini.
"PR masih lagi wujud dan ini dibuktikan melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan. Keadaan ini menyebabkan ada pihak yang iri hati lalu menimbulkan spekulasi seperti Langkah Rawang sebagai cubaan menghuru-harakan politik Selangor," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sudah tiba masanya bagi masyarakat Islam untuk melakukan perubahan total dalam negara.
Jelasnya, perubahan tersebut perlu dibuat demi kesejahteraan ekonomi dan masa depan negara.
"Anjakan besar juga dijangka berlaku di kalangan pengundi Melayu apabila kos dan kualiti kehidupan mereka terus dihimpit oleh polisi-polisi dan penyelewengan pentadbiran kerajaan seperti peningkatan kadar GST yang dijangkakan akan berlaku dalam masa setahun dua jika negara terus kehilangan sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada GST untuk menampung perbelanjaannya.
Kegagalan dalam mengurus tadbir negara dan kontroversi tidak henti memberi petanda bahawa masa sudah tiba untuk anjakan paradigma politik di kalangan pengundi Melayu dan Bumiputera," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian