Parti Amanah Yakin Keahlian Cecah 100,000 Menjelang 2016


KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) meluahkan keyakinan parti itu akan mempunyai seramai 100,000 ahli menjelang tahun 2016 nanti.

Kenyataan itu secara tidak langsung dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada PAS memandangkan majoriti yang menyertai Amanah merupakan asalnya ahli PAS.

Malah menurut Setiausaha Amanah, Mohd. Anuar Tahir berkata, partinya kini sedang memproses lebih 50,000 permohonan keahlian.

“Hari ini genap 44 hari Amanah berada dipersada politik tanah air. Setakat hari ini, Amanah sedang memproses lebih 50,000 permohonan keahlian.

“Bagi kami, ia satu jumlah yang sangat membanggakan sekali gus menunjukkan sambutan dan minat yang amat tinggi masyarakat terhadap Amanah,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Anuar juga memaklumkan bahawa mereka telah berjaya mendapatkan sebuah pejabat operasi di Jalan Sri Utara, Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang digelar sebagai Wisma Amanah Negara.

Katanya, Amanah turut membuat perlantikan tiga anggota jawatankuasa untuk portfolio utama iaitu Khalid Abdul Samad sebagai Pengarah Komunikasi), Dr Dzulkefly Ahmad (Pengarah Strategi) dan Dr. Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihan Raya).

“Selain itu, kita juga telah bersetuju melantik Wan Aishah Wan Ariffin ke Jawatankuasa Amanah Nasional sebagai mewakili golongan seniman,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa pimpinan Amanah termasuk Presidennya, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub mengadakan kunjungan hormat ke atas pemimpin pergerakan Islam antarabangsa untuk memperkenalkan Amanah. -Kedahnews.com