PAS Bakal Kemuka Calon Bukan Islam Pada PRN Sarawak Nanti

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
MIRI - PAS akan mengemukakan calon bukan Islam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang namun keputusan itu masih pada peringkat perbincangan kepimpinan PAS Pusat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beberapa calon bukan Islam telah dikenal pasti bagi mewakili parti itu pada PRN kelak termasuk di beberapa kerusi baharu.

“Kita pernah menampil calon bukan Islam bagi mewakili PAS pada pilihan raya di Semenanjung. Dan, di Sarawak mungkin ia kali pertama calon bukan Islam akan dicalon di kerusi tertentu,” katanya dalam sidang media kelmarin.

PAS tambah beliau akan menampil 100 peratus calon terdiri daripada anak-anak tempatan untuk bertanding pada pilihan raya termasuk beberapa kerusi baharu kelak.

Menurutnya, hubungan PAS Pusat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat masih sedia terjalin dan tiada masalah jika kedua-dua parti bekerjasama semasa kempen pilihan raya kelak.

“Ada masa kita boleh bergerak bersama-sama PKR dalam kempen pilihan raya. Ada masa kita boleh bergerak sendiri bahkan ini kali pertama kepimpinan tertinggi PAS turun ke Sarawak bagi membincangkan soal pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, meskipun berlaku krisis dalaman parti di Semenanjung Malaysia, namun sokongan rakyat khasnya di Sarawak tidak pernah terjejas bahkan menunjukkan pertambahan sokongan.

“Meskipun berlaku pergolakan, kemasukan ahli baharu di Semenanjung Malaysia dan Sarawak sangat luar biasa dan masing-masing bersemangat menyokong parti,” katanya.

Bahkan kata Ibrahim asal usul parti itu tidak lagi menjadi masalah sebaliknya parti itu turut diterajui anak-anak tempatan Sarawak.

Dalam perkembangan sama, isu semasa seperti kemudahan asas tetap menjadi agenda parti itu dalam kempen pilihan raya berikutan terdapat kawasan masih belum menerima sebarang kemajuan.

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Dato Dr Nik Muhamad Zawawi, Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili dan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

PAS buat julung kalinya akan turut mengintai peluang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Lambir.

Terdahulu Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi Awang turut hadir di Miri dan melakukan rombongan muhibbah ke Gereja Anglikan St Columba Miri.

Presiden PAS itu termasuk kesemua kepimpinan PAS pusat hadir ke Miri sempena Program PAS Sarawak iaitu Munaqasyah dan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK).

Sumber: Utusan Borneo